Silverfish Books, sebuah kedai buku independen di Jalan Telawi, Bangsar menjadi tuan rumah Minggu Buku-buku Bergambar mulai 2-7 Mei 2011. Sebanyak 20 buah judul akan dipamerkan. Buku-buku ini yang dikarang dan / atau diilustrasikan oleh rakyat Malaysia membawakan cerita-cerita kita yang tersendiri termasuk dari Malaysia Timur. Sepanjang minggu ini, buku-buku tersebut dijual dengan tawaran promosi istimewa serta hadiah percuma.
Linda Tan Lingard, pengarah Yusof Gajah Lingard Literary Agency Sdn Bhd dan penganjur acara itu berkata, "Ini merupakan Minggu Buku-buku Bergambar pertama yang kami anjurkan dan kami berterimakasih kepada Silverfish Books kerana sudi menjadi tuan rumah."
"Buku bergambar merupakan cara yang sangat baik untuk memperkenalkan buku kepada kanak-kanak. Ia sesuai untuk dibaca dengan kuat atau dibaca bersama dan berkesan untuk menyemai minat membaca di kalangan kanak-kanak. Ilustrasi dan teksnya meningkatkan keseluruhan pengalaman membaca dan keseronokan buku bergambar. "
Pihak Agensi juga menampilkan beberapa individu dan organisasi yang hebat untuk turut serta dalam Minggu Buku Bergambar pertamanya. Individu dan organisasi yang dimaksudkan ialah:
• Yusof Gajah – Yusof Gajah, artis Malaysia dengan imej gajah ikoniknya juga adalah illustrator buku kanak-kanak yang terkemuka.
• Sarimah Ibrahim, hos TV popular
• Datin Rossiti Aishah Rashidi - Penulis 'Manja the Orangutan', beliau merupakan penyokong gaya hidup hijau dan pelindung alam sekitar.
• EmilaYusof – Pemblog dan ilustrator, Emila Yusof.
• Voice of the Children - VOC ialah sebuah NGO yang misinya adalah untuk memperjuangkan dan menggalakkan reformasi undang-undang dan polisi bagi melindungi hak kanak-kanak.
• OneRedFlower Press –Penerbit Malaysia bagi buku kanak-kanak dan remaja
• Persatuan Penulis & Ilustrator Buku Kanak-Kanak Malaysia (Society of Children’s Book Writers & Illustrators - SCBWI) –Persatuan ini bermatlamat memberikan sokongan dan latihan kepada para penulis dan illustrator Malaysia.
Sharmila Sekaran, Pengerusi Voice of the Children, berkata, "Kami begitu gembira dan berterimakasih kepada Yusuf Gajah Lingard Literary Agency kerana diberi peluang untuk menyertai Minggu Buku Bergambar yang julung kali diadakan dengan dua buah buku kami yang merupakan set pertama daripada beberapa siri buku. Dengan kerjasama antara artis dan penulis tempatan serta asing, matlamat buku-buku kami - "The Little Bear Dancing" dan "Cats in the Rubbish" – memaparkan sebuah dunia yang berbeza – dunia yang sebenar – yang mana kanak-kanak terdedah kepada penderaan dan keganasan, menerima layanan buruk dan memerlukan perlindungan kita.
"VOC berharap menerusi buku-buku ini, para pembaca - kanak-kanak dan juga orang dewasa – akan menyedari isu-isu yang menghimpit ramai kanak-kanak di Malaysia dan mendorong mereka untuk tampil memberikan sokongan bagi membantu melaksanakan perubahan positif ", ujar Cik Sharmila. "Kami juga berbesar hati mengumumkan bahawa buku ketiga dalam siri ini akan dilancarkan pada bulan Jun, bersempena dengan Hari Pelarian Sedunia UNHCR."
Pada siding akhbar tersebut, Yusof Gajah yang begitu bersemangat setelah kembali daripada lawatan ke Bologna International Children's Book Fair pada Mac baru-baru ini berkata, "Ramai penulis tempatan dan ilustrator tidak dilatih untuk menghasilkan buku bergambar. Kami ingin menghasilkan lebih banyak buku berkualiti untuk kanak-kanak namun kita harus mengatasi jurang ini dan memberikan insentif kepada penulis dan ilustrator. "
Yusof berbangga apabila dua daripada ilustrator yang dilatih beliau, Jainal Amambing dan Awang Fadilah, kedua-duanya dari Sabah kini telah menghasilkan sejumlah buku bergambar yang turut diketengahkan dalam minggu buku bergambar ini.
Ketika ini Yusof Gajah sedang mengusahakan sebuah siri 10 buah buku tentang kreativiti untuk kanak-kanak dan akan mengenalpasti pasangan yang sesuai untuk setiap judul. Buku-buku ini diharap dapat diterbitkan pada awal tahun depan.
Voice of the Children (VOC) berpendapat buku bergambar merupakan cara yang baik untuk menyampaikan mesej tentang hak kanak-kanak. Buku-buku mereka juga akan dibekalkan dengan panduan guru dan alat bantuan mengajar.
Buku bergambar terbaru, Longhouse Days, ketika ini sedang dipromosikan di Silverfish. Ia ditulis dan diilustrasikan oleh Jainal Amambing, seorang lagi ilustrator Malaysia yang terkenal.
Bagi Datin Rossiti Aishah Rashidi, menulis sebuah buku bergambar bukan fiksyen, Puteri Tioman the Green Turtle, merupakan suatu pengalaman belajar. Beliau melibatkan diri dalam snorkeling untuk melihat sendiri kehidupan marin. Puteri Tioman dijangka terbit pada Julai 2011 dengan diiringi kata pengantar oleh Tuanku Sultan Ahmad Shah, Sultan Pahang yang mula-mula mendorong beliau untuk menulis buku tersebut.
Persatuan Penulis dan Ilustrator Buku Kanak-Kanak Malaysia (SCBWI) yang diwakili oleh setiausahanya, Rafilda Abdul Rahman mengatakan bahawa pihak persatuan berhasrat menangani jurang latihan bagi para penulis dan illustrator tempatan.
Ia juga membantu mempromosikan penulis dan illustrator tempatan dengan mewujudkan sebuah pangkalan data tentang penulis dan ilustrator di laman web www.scbwi-my.org. Dengan tajaan daripada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, pihak Persatuan mengadakan sebuah pameran berkenaan ilustrasi oleh illustrator tempatan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini.
SCBWI juga terlibat secara aktif dalam Festival Bahan Kandungan Kanak-Kanak Asia (Asian Festival of Children’s Content - AFCC) yang akan diadakan di Singapura mulai 26-28 Mei 2011. Menurut Rafilda, ahli-ahli SCBWI akan diberikan tawaran promosi istimewa.
"Sama ada anda seorang penulis atau ilustrator, AFCC adalah tempat untuk belajar daripada para profesional, mewujudkan rangkaian kenalan dan berhubung dengan penerbit," ujar Kenneth Quek, Penasihat Wilayah SCBWI dari Singapura yang berada di Sidang Akhbar itu untukmempromosikan festival yang bertemakan, Bahan Kandungan Asia untuk Kanak-Kanak Dunia. Maklumat lanjut serta pendaftaran boleh didapati di www.afcc.com.sg
Di penghujung promosi selama seminggu ini, hos TV popular, Sarimah Ibrahim, akan membacakan sebuah buku Yusof Gajah pada 7 Mei di Silverfish Books. Ia akan diikuti dengan bengkel seni dan kreativiti oleh Yusof Gajah untuk kanak-kanak. Sementara itu, para penerbit, penulis dan illustrator akan berbicara tentang bagaimana dan mengapa mereka menghasilkan buku-buku bergambar. Masuk adalah percuma dan terbuka kepada orang ramai.
Sila ajukan semua pertanyaan ke:
lindalingard@yusofgajahlingard.com; 012-3320937
Tentang Yusof Gajah Lingard Literary Agency Sdn Bhd
www.yusofgajahlingard.com
Yusof Gajah Lingard Literary Agency mewakili penerbit, penulis dan illustrator tempatan dan juga asing serta bertindak sebagai agen sastera dan pengurus seranta untuk pelanggan mereka.